Tuesday, May 17, 2011

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Guru mesti faham maksud transformasi. Transformasi bermaksud perubahan pada keseluruhan aspek yang berkaitan dengan pendidikan negara: Infrastruktur, kualiti pendidikan, prestasi murid, perbelanjaan kewangan berhemah dan kualiti manusia yang terlibat dalam bidang pendidikan( yang bertugas di sekolah, PPD, JPN dan KPM). Semua pihak dapat menjana satu misi dan visi yang konkrit, jitu dan mempunyai tahap kebertanggungjawaban yang tinggi. Mempunyai suatu nada dan satu irama berjuang demi membina kejayaan anak bangsa. Kemurniaan kejayaan tranformasi bukan sekadar tertera di atas kertas. Ianya harus merangkumi perubahan secara total. Sudah banyak kali kita bercakap perkara yang sama selepas sesuatu program berjalan beberapa tahun. Penjenamaan baru diberi berikut dengan pertukaran pucuk kepimpinan tetapi agendanya sama. Keseronokan memberi penjenamaan ini menyebabkan guru-guru keliru dan hilang fokus. Apakah jika ini caranya pendidikan negera di urus maka kita mengharapkan berlaku tranformasi? Yang jelas tranformasi di kaitkan dengan imbuhan yang berganda kepada pendidik. Apakah korelasinya dengan mutu pendidikan yang diberi dalam bilik darjah? Adakah ianya dikatakan berlakunya transformasi? Fikirlah cikgu!
.

Sunday, May 23, 2010

Selamat Menyambit Hari Guru 2010

"Guru Pembina Negara Bangsa" Besar tanggungjawab yang dipikul oleh kita yang bergelar guru. Walau di mana kita berada peranan kita adalah sama. Malahan jika berada di kawasan yang memerlukan pengorbanan yang lebih, maka haruslah kita rela melakukannya dengan ikhlas. Jika kita merasakan tugas kita ini membebankan tentu sekali kita gagal untuk menunaikan amanah dengan ikhlas. Haruslah diingat bahawa badai yang melanda, ribut yang berlaku adalah lumrah alam. Sampai waktunya kita akan disinari mentari kejayaan hasil dari kegigihan mencari pengalaman serta mengumpul formula untuk menjadi guru yang berjaya. Allah akan memberi kejayaan di atas segala komitmen dan kebertanggungjawaban kita dalam menggalas serta mengendong amanah yang wajib kita laksanakan. Bukankah kita telah berjanji dengan keringat yang ada, dengan ilmu yang kita perolehi kita akan berjuang menabur bakti kepada negara tercinta ini ? Jangan lupa generasi hari ini ada dalam tangan anda dan mereka bakal menjadi generasi masa depan negara. Justeru itu binalah mereka dengan mata hati anda.

Wednesday, February 24, 2010

TIP TIP untuk jadi TIPTOP

Ini cadangan agar anda berwaspada dan elakkan dari terjebak. Terutama guru permulaan. Mulalah kerjaya anda dengan budaya kerja yang sihat.
1. Jauhkan diri dari kumpulan guru yang sentiasa berpandangan negatif pada murid, pentadbir dan rakan sejawat.
2.Dekatkan diri dengan guru senior yang bagus. Pelajari dan jadilah seperti mereka atau lebih baik dari mereka.
3.Hayati matlamat pendidikan negara kita ( FPK,KBSR/KBSM dan program KPM). Hayati dan realisasikannya.
4.Ruang paling bermakna bagi guru ialah perpustakaan. Pinjam buku dan BACAlah! jadilah guru yang berilmu.
5. Bilik guru bukan tempat gossip. Kantin pula bukan untuk santai.
6. Jaga kesihatan diri. Bersih hati dan minda. Kejujuran terpancar diraut wajah. SENYUMLAH!
7. Kematangan Emosi (EQ) penting dirawat dan ditingkatkan.
8. Terima kritikan dengan berlapang dada. Berbincang jika buntu buat keputusan.
9. Dapat membezakan antara tugas rasmi dan hal peribadi. Jangan keliru.
10. Katakan 'Yes' saya boleh buat bukan alasan untuk menolak tanggungjawab.

Tuesday, February 2, 2010

MWTC/ MPPM / IPPM

Pada 31hb Jan adalah sambutan 75 Taun Jubli Intan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka. Menarik dan nostaglia sekali dapat berjumpa dengan rakan lama dan warga institut. Masih jelas kenangan ketika menjadi pensyarah pada1995. Kemudian pada 2004 hingga 2006 menjadi Pengarah di sana. Berdasar pengalaman dan pemerhatian cikgu kagum dengan keluaran institut ini yang dari maklumat yang saya dapatkan sendiri dari GB, mereka menyatakan anda semua berwibawa dan komited. Terutama keluaran KDPM. Syabas Cikgu!. Hidupkan semangat keguruan, Kemenjadian anda kebanggaan cikgu. Ingatlah pesanan cikgu "Kerja guru perlukan pengorbanan. Belajarlah berkorban dan anda akan merasa nikmatnya". Penuhi dada anda dengan ilmu berkaitan dengan pendidikan dan ilmu-ilmu lain agar dapat menjadi bahan menarik minat murid dalam bilik darjah. Jadilah guru berilmu dengan banyak membaca. Buku adalah sahabat terbaik guru. BACA DAN BACALAH! ANDA AKAN MENJADI PENDIDIK YANG BERILMU. Jangan bersikap ketam menyuruh anaknya berjalan betul...

Tuesday, January 5, 2010

TAHUN BARU AZAM BARU-2010

Diucapkan selamat bertugas kepada semua guru-guru. Yang telah lama bertugas tentu telah cukup berehat.Yang berpindah ke sekolah baru selamat menempuh persekitaran baru. Guru-guru baru tentu sekali berdepan dengan cabaran; sebagai guru dan juga untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Yang mendapat penempatan mengikut kehendak hati tentu gembira. Namun apa-apa pun kerja guru ini jangan diambil mudah. Ramai orang menganggur, ramai pula yang berkerja sementara dan ramai juga yang mengintai-intai untuk mendapat kerja guru ini kerana gajinya, kerana cutinya dan kerana kerjanya tidak teruk seperti sektor perkerjaan yang lain. Tetapi wahai cikgu sekelian apabila anda telah berpeluang mendapat kerja guru ini dan apabila anda dipanggil CIKGU maka lunasilah amanah anda dengan ikhlas, jujur dan penuh tanggungjawab. Ingat sebelum mendidik anak murid anda dengan ilmu pengetahuan, anda sendiri harus BERILMU dan setiasa MENCARI ILMU. Jangan menjadi ketam. Jadilah khalifah Allah yang sentiasa menghitung kekurangan diri sendiri dan sentiasa menambah ilmu dan menabur ilmu demi kesejahteraan ummah. Tahun 2010 realisasikan dengan berkerja kuat dan fokus kepada strategi yang tepat. InshaAllah kita akan sukses!!!

Monday, August 31, 2009

MERDEKA

Selamat menyambut Kemerdekaan negara kita ke 52 tahun. Tanda tempohmasa 52 tahun adalah kematangan dan kedewasaan. Rakyat Malaysia harus berupaya meletakkan kedewasaan dan kematangan dalam menuju kewarasan sebuah negara yang mementingkan kesetabilan dan kemajuan yang beracuankan 1 Malaysia. Guru harus peka tentang tanggungjawab menanam serta memupuk semangat cintakan negara serta membina jati diri yang bisa mengutuh dan mensetabilkan keharmonian negara. Rasa kebertanggungjawaban kita terhadap membina negara bangsa perlu ada dalam setiap jiwa rakyaat Malaysia. Sayangilah bumi bertuah ini. Jika negara lain sering berlaku pergolakan, malahan ada yang sampai bermandikan darah sesama sendiri maka janganlan kita cuba bermain dengan api. Kepanasan dan percikan bunga api itu boleh membakar dan menghanguskan rasa hormat dan toleransi yang sedia ada dikalangan kita. Sayangi apa yang kita miliki. Keunikan Malaysia terletak kepada kepelbagaian yang kita ada. Fahami dan terima lah hakikat ini. Kita adalah manusia paling beruntung kerana di lahirkan di Malaysia. Marilah kita mengecapi keberuntungan itu sehingga ke akhir zaman. Merdeka!
Merdeka! Merdeka! Teringat saya ketika menjadi Pengetua dulu di SMKIJC Melaka. Kami berjaya melakukan Bendera Terpanjang, Logo Terbesar dan pelbagai program yang mencerminkan kami 1 Malaysia.

Friday, August 21, 2009

Selamat Berpuasa

Saya ingin mengucapkan kepada semua Selamat Berpuasa. Guru-guru nampaknya seronok kali ini kerana sekolah pun mula bercuti dan akan dibuka semula selepas 31 Ogos. Sana sini sesak dengan kenderaan. Bersimpang siul menghala ke destinasi masing-masing untuk menyambut puasa bersama orang-orang tersayang. Nampaknya budaya menyambut hari pertama puasa di kampung halaman tetap menjadi agenda kebanyakan daripada kita. Ramai guru di pendalaman pun balik kampung, walaupun cuti sekolah hanya seminggu. Kemudian cuti Aidilfitri.Balik lagi ke? Yang tidak balik, bagaimana berpuasa di pendalaman? Bagi yang keseorangan berpuasa tentu rasa hibakan? tiada teman untuk bersahor dan berbuka. Apa lagi untuk berterawih. Kepada anda yang bukan di pendalaman, harus rasakan nikmat yang di beri Allah swt kepada anda. Bersyukurlah. Doakan rakan-rakan kita agar tabah menghadapi cabaran dan dugaan. Pengorbanan mereka amat besar dan kita tidak melupakan mereka semua. Negara kita sudah 51 tahun merdeka. Minda kaum guru juga harus merdeka dan bebas berfikir untuk berkorban dalam meningkatkan taraf pendidikan negara. Di tangan ada tergenggam harapan seluruh warga Malaysia. Gurulah Penjana Pendidikan Berkualiti.Renungkanlah. MERDEKA!